Isnin, 16 Disember 2013

Sinopsis Drama Ariana Rose di TV3


Drama Playboy Itu Suami Aku bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi, dah bakal digantikan dengan drama ARIANA ROSE sebuah lagi karya yang diadaptasi dari novel terlaris berjudul The Wedding Breaker nukilan Evelyn Rose.

Ariana Rose mendapat sentuhan pengarah Raja Ahmad Alaudin dan skrip digarap oleh Sofia Rhyland dan menampilkan Nur Fathia dan Keith Foo sebagai teraju utama serta dibantu oleh Nabila Huda, Tasha Shilla, Wan Sharmila, Arja Lee, Liza Abdullah, Datuk Jalaluddin Hassan, Datin Ziela Jalil, Jasmin Hamid, dan ramai lagi.



Drama rantaian 28 episod terbitan Pena Creative  bakal menemui penonton mulain 30 Disember 2014, setiap Isnin hinga Khamis, jam 7 malam di Tv3.

Sinopsis Ariana Rose


ARIANA ROSE mengisahkan tentang Ariana Rose yang telah menyamar sebagai kekasih Tengku Adam ketika di majlis pernikahan Tengku Adam dan Tengku Juwita. Ariana bersetuju untuk berlakon kononnya dia sedang mengandungkan anak Tengku Adam demi membantu sahabat baiknya, Tengku Juwita agar perkahwinan itu gagal  diteruskan. Tengku Juwita sememangnya tidak mahu bersama  dengan Tengku Adam yang terkenal dengan sikap kaki perempuan.

Pengakuan palsu Ariana itu ternyata telah memporak-perandakan majlis itu dan perkahwinan Tengku Adam dan Tengku Juwita juga dibatalkan. Bukan reputasi Tengku Adam sahaja di pandang rendah malah maruah keluarga Tengku Adam turut tercalar. Tengku Adam berang dengan keadaan yang berlaku kerana dia memang tidak mengenali Ariana. Jadi, Tengku Adam mengupah pengintip upahan untuk menyiasat siapakah wanita yang telah melakukan pembohongan di majlisnya. 

Setelah berjaya mendapat maklumat tentang Ariana, Adam nekad untuk menculik Ariana dan membawa gadis itu ke Cameron Highlands. Tengku Adam cuba untuk memerangkap Ariana dengan memaksa Ariana membuat pemeriksaan kehamilan. Namun, Ariana tetap bertegas dengan mengatakan Tengku Adam adalah bapa kepada anaknya kerana Ariana telah berjanji dengan Tengku Juwita untuk menyimpan rahsia mereka berdua walau apa pun terjadi.

Tengku Adam masih tidak berpuas hati. Kemudian dia terpaksa menggunakan cara kotor dengan meragut kesucian Ariana. Ariana menyesal dan akhirnya mengakui kebenarannya. Ariana mula membenci Tengku Adam dan sejak itu dia tidak pernah lagi bertemu lelaki yang telah memperkosanya. 

Selepas 2 bulan kejadian itu berlaku, Ariana meneruskan kehidupannya dengan melakukan kerja-kerja amal. Tanpa disangka, Tengku Adam adalah penyumbang terbesar bagi dana kebajikan di mana tempat Ariana bekerja. Ketika majlis amal diadakan Ariana hadir bersama rakan sepejabatnya, Harith. Entah mengapa Tengku Adam cemburu melihat kemesraan mereka berdua. 

Tengku Adam mula menyukai Ariana. Namun, perasaan benci Ariana pada Tengku Adam dituduh tidak pernah berubah. Cara Ariana melayan Tengku Adam juga ternyata berbeza jika dibandingkan dengan layanan yang diberikan kepada Harith yang jauh lebih mesra. Tengku Adam bertambah hilang pertimbangan apabila Ariana turut mesra dengan bekas sahabat baiknya, Ramzul. 

Tengku Adam bermusuh dengan Ramzul kerana Tengku Adam tidak bertanggungjawab setelah mengandungkan adiknya, Liyana suatu ketika dahulu. Liyana juga kini kembali untuk mendapatkan cinta Tengku Adam semula. Liyana sanggup melakukan apa sahaja asalkan Tengku Adam hidup bersamanya. Liyana bertambah tidak keruan apabila cinta Tengku Adam pada Ariana makin mendalam.Tengku Adam pula rimas dengan kehadiran Liyana kerana baginya kewujudan Liyana membuatkan dia lebih jauh dari Ariana. 

Sementara itu, Ariana pulang ke kampung setelah diminta oleh ibu bapanya. Ibu bapa Ariana telah merancang untuk menyatukan Ariana dengan pemuda pilihan mereka. Tengku Adam mendapat tahu Ariana akan disatukan mengikut pilihan keluarga. Tengku Adam tidak mahu kehilangan Ariana. Malah Tengku Adam yang selama ini penuh dengan sikap ego, sanggup melutut dan merayu kepada Ariana agar menerimanya sebagai suami.


Previous entry: Malang Bertimpa-Timpa di Kem TRW

2 ulasan:

  1. tengok pelakon mantap belaka. mesti best kn

    BalasPadam
    Balasan
    1. harap better dari Playboy Itu Suami Aku. HAHA!!

      Padam