Menyusuli drama Naziha, sebuah lagi drama berunsur keagamaan bertajuk RUNTUN QALBU bakal bersiaran bagi mengisi Slot Zehra di Tv3.
Drama terbitan Excellent
Pictures ini diarahkan oleh Ahmad Khalid Ahmad
Nadzri, iaitu adik kepada pengarah terkenal Ahmad Idham dan skrip digarap oleh Siti Jasmina.
Runtun Qalbu dibintangi pelakon sensasi, Fasha Sandha, Shah Iskandar, Fida
Ibrahim, Kamal Adli dan bakal bersiaran mulai 21 September 2012, setiap Jumaat jam 9 malam di Tv3.
Sinopsis Runtun Qalbu:
RUNTUN QALBU berkisar tentang Qalbu yang dianggap sebagai seorang
lelaki baik, punya ilmu agama, rajin bekerja namun sangat misteri
orangnya. Qalbu yang tinggal seorang diri di pangsapurinya sentiasa
menjadi pilihan jirannya, Idayu (Fasha Sandha) yang menyimpan perasaan
terhadapnya. Tanpa memikirkan soal kerja Qalbu yang bertugas sebagai
penjaga bilik mayat dan personalitinya yang pelik dan lebih suka
menyendiri, Idayu yang juga anak kepada pemandu teksi itu tetap menyukai
jejaka pendiam itu.
Qalbu sentiasa meluangkan masanya di sebuah masjid yang akhirnya
menemukannya dengan seorang gadis yang bertugas mengajar kanak-kanak
mengaji, Ustazah Fatihah (Fida Ibrahim). Qalbu mula menyukai Ustazah
Fatihah namun mereka tidak pernah bercakap antara satu sama lain
sehinggalah takdir menemukan Qalbu kepada Kelabu (Shah Iskandar) yang
terbabit dalam kemalangan jalan raya yang menyebabkan beliau hilang
ingatan. Simpati dengan nasib malang Kelabu, Qalbu mengambil keputusan
untuk menjaga Kelabu seperti keluarganya sendiri.
Kronologi perkenalan Qalbu dan Ustazah Fatihah bermula di situ
apabila Kelabu sering menjadi orang perantara yang ingin membantu Qalbu
sebagai balasan di atas kebaikannya selama ini. Sayangnya, Fatihah tidak
menaruh cinta terhadap Qalbu tetapi mula menyukai Kelabu dan ini
membuatkan keadaan sangat janggal di antara mereka bertiga.
Walaubagaimanapun hubungan Qalbu dan Kelabu semakin akrab. Namun
begitu Qalbu tidak pernah bercerita tentang kisah hidupnya kepada Kelabu
dan itu menambahkan kemusykilan terhadap dirinya tambahan pula Qalbu
sering meracau semasa tidur dan menangis di dalam bilik.
Semasa Qalbu dan Kelabu keluar ke pekan, mereka bertemu dengan salah
seorang sahabat Qalbu yang bernama Meng. Namun apabila Meng ternampak
kelibat Kelabu, dia menjadi cemas dan terus melarikan diri. Perbuatan
Meng itu menimbulkan tanda tanya buat Kelabu dan Qalbu.
Tanpa disedari Kelabu telah ditarik oleh sekumpulan gangster. Akan
tetapi Kelabu berjaya melepaskan diri dan tiba di rumah Qalbu. Kelabu
menjadi semakin bingung dan tertanya sendiri siapakah dirinya sebelum
dia hilang ingatan. Sejak kejadian itu, Kelabu sentiasa diserang sakit
kepala dan muntah-muntah.
Qalbulah yang membantu dan menjaga Kelabu siang dan malam. Apabila
Kelabu sedar dari tidur, ingatannya sudah kembali pulih. Dia mula
mengingati kisah silamnya lantas meninggalkan Qalbu dan kembali ke
kancah lamanya sebagai seorang gangster.
Apabila Kelabu diarah oleh ketuanya untuk mencari pembunuh kepala
gangster, Kelabu terkejut apabila mendapati pembunuh yang bakal
dicarinya itu ialah Qalbu. Adakah benar orang yang harus dicari oleh
Kelabu adalah Qalbu? Jika benar, siapakah sebenarnya Qalbu? Dan
persoalannya sekarang ini, apakah yang diselindungi oleh Qalbu selama
ini?
Sumber: tv3.com.my
Selamat menonton! Okbai!