Rabu, 2 Jun 2021

Panduan Pelaburan Saham di Malaysia

 “Beli, jual dan pegang” merupakan ungkapan yang kerap keluar daripada mulut rakan-rakan anda yang melabur dalam saham. 

 

Namun, sebelum boleh membeli, menjual atau memegang sesebuah saham, anda perlu tahu apa perlu dilakukan sebelum melabur dan bagaimana teknik tertentu boleh menjadikan anda seorang pelabur bijak.

 


 

Bursa saham

Saham-saham yang boleh didagangkan di Malaysia disenaraikan di papan Bursa Malaysia. Dalam kata lain, Bursa Malaysia adalah seperti “pasar besar” untuk untuk pelaburan saham bagi pelabur- pelabur untuk tawar menawar harga saham sesebuah syarikat.



 

Apakah saham-saham yang boleh diperdagangkan?

Terdapat hampir 972 syarikat awam yang disenaraikan pada papan utama, kedua dan MESDAQ berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan Bursa Malaysia yang boleh diperdagangkan. Pelaburan saham bermaksud anda akan menjual, membeli atau memegang saham yang disenaraikan dengan satu tujuan, iaitu mendapat pulangan pelaburan atau mengurangkan kerugian. 


Akaun CDS

Sepertimana akaun simpanan di bank untuk menyimpan wang, anda perlu membuka satu akaun CDS (Central Depository System) untuk merekodkan semua transaksi atau pegangan saham semasa atau terdahulu. Akaun ini diuruskan oleh Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd. 

 

Terdapat dua pilihan akaun CDS yang boleh dibuka bagi pelabur individu iaitu akaun Direct CDS dan juga akaun Penama CDS (Nominee). Kedua-dua akaun boleh dibuka dengan mana-mana syarikat pembrokeran saham atau dikenali sebagai Ejen Depositori Diberi Kuasa (ADA). 

 

Akaun Direct CDS akan didaftarkan di bawah nama anda manakala bagi akaun Penama CDS, nama broker akan tertera pada pemilikan saham.


Broker atau pelaburan sendiri?

Anda boleh memilih sama ada melabur sendiri atau dengan syarikat broker melalui remiser (agen syarikat broker berlesen daripada Suruhanjaya Sekuriti) yang berpengalaman. 

 

Melalui sistem perdagangan dalam talian, anda mengendalikan perdagangan saham sendiri dengan lebih pantas dan selesa. Kedua-dua cara ada kelebihan dan kekurangan dari segi bayaran brokerage, risiko kecuaian atau keselesaan. Objektifnya tetap sama—keuntungan!

 

Pelaburan saham adalah kombinasi kepakaran, pengalaman dan juga analisis teknikal. Analisis tepat dan terperinci membantu sebelum kata-kata hikmat “beli”, “jual” dan “pegang” dilontarkan. Salah satu kaedah atau ukuran prestasi saham yang juga digunapakai dalam pelaburan pertukaran wang asing (Forex), adalah melalui Relative Strength Index.


Apa itu Relative Strength Index (RSI)?

Maksud RSI dalam saham dan Forex (tukaran wang asing) mula diperkenalkan lewat tahun 70-an dan terbukti masih relevan sehingga kini. RSI merupakan satu analisis teknikal terhadap pergerakan harga saham dan mata wang berdasarkan naik turun dan juga magnitud perubahan harga. Analisis ini dibuat terhadap graf prestasi saham untuk mencari kekuatan dan kelemahan dalam tempoh tertentu.  

 


 

Analisis terhadap graf tersebut memberi satu visual kepada pelabur suatu penunjuk masa yang sesuai untuk beli atau jual. Penunjuk ini, dikenali sebagai pengayun (oscillator), akan mengukur kelajuan turun naik sesuatu saham atau mata wang dan membantu pelabur menilai keadaan tersebut sama ada telebih jual atau terlebih beli. 

 



Dengan menggunakan RSI, pelabur boleh membuat strategi pelaburan saham dengan cermat dan mengurangkan risiko kerugian.


Untung rugi pasaran saham

Tanyalah kepada sesiapa, tiada orang melabur untuk rugi. Tetapi apakah yang menentukan turun naik harga sesebuah saham syarikat?  

 


 

 

Secara mudahnya, saham sesebuah syarikat ditentukan oleh permintaan. Jika prestasi sesebuah syarikat awam berada dalam keadaan baik, lebih ramai pelabur ingin memiliki saham syarikat tersebut. Maka lebih tinggi pemintaan, harga saham menjadi stabil atau meningkat. 


Faktor-faktor lain yang boleh menyumbang kepada harga pasaran saham adalah kestabilan politik, praktis korporat syarikat, spekulasi dan juga politik. 

 

Percayalah, Nostradamus sendiri tidak mampu meramalkan turun naik harga saham dengan tepat! 

 

Meskipun harga saham berubah sama ada turun, naik atau kekal sementara, RSI dapat mengenal pasti pola pergerakan harga melalui analisis mendalam—segalanya tentang analisa graf serta formula mudah dan bukannya ramalan Nostradamus.


1 ulasan:

  1. saham ni nak kena bebetul faham dan belajar dengan betul. Kalau tidak, murung nanti. hehehe

    BalasPadam