Selasa, 6 Mei 2014

(Sinopsis) Masihkah Ada Cinta di Slot Samarinda


Menggantikan ‘Anugerah Terindah’ saksikan sebuah drama terbaharu bertajuk  MASIHKAH ADA CINTA di Slot Samarinda yang mula bersiaran pada 8 Mei 2014, setiap Rabu dan Khamis jam 10 malam di Tv3.

Masihkah Ada Cinta terbitan Opera Klasik dibawah arahan pengarah Rashid Sibir ini dibintangi pelakon popular seperti Amar Asyraf, Nabila Huda, Fouziah Gous, Shah Iskandar, Elizad Sharifuddin, Dato’ Jalaluddin Hassan dan ramai lagi. 


Sinopsis Drama Masihkah Ada Cinta

Mengisahkan Azril meninggalkan Tina tanpa sempat menamatkan pengajian dan sebab yang nyata. Mujur ada rakan-rakan yang banyak memberikan semangat untuk Tina meneruskan pengajian sehingga berjaya menjadi seorang doktor. Azril merupakan lelaki dan cinta pertamanya. 
 
Sukar untuk Tina melupakan memori indah sewaktu bersama. Walaupun telah bertahun berlalu tapi parut luka masih terasa membuatkan Tina berhati-hati dalam memilih pasangan. Cintanya kini hanyalah pada kerjaya setelah kehilangan Azril dan kedua ibubapanya akibat kemalangan.
 
Iman seorang doktor muda yang bertugas di Taiping, Perak, tempat kelahirannya. Ramai yang meminatinya terutama rakan sekerja tapi Iman lebih senang fokus pada kerjaya dan keluarganya buat masa kini. Semenjak kematian ayahnya, Dato’ Imran, dia menjadi ketua keluarga menjaga ibunya, Datin Maimon dan kakak kesayangannya, Leen, yang tidak berapa sihat sejak kemalangan. Leen memerlukan lebih perhatian kerana menghadapi tekanan perasaan akibat kecacatan.
 
Datin Maimon sendiri sudah kering air mata melihat penderitaan Leen yang adakalanya mengamuk dan suka bercakap bukan-bukan kesan dari pembedahan mengeluarkan darah beku dalam kepalanya. Mujur suaminya begitu tabah menjaga dan melayan kerenah Leen bila ada kelapangan. Dia akan berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Taiping menguruskan perniagaan keluarga. Anak tunggal mereka, Dhia, terpaksa diuruskan oleh Datin Maimon bersama Iman.
 
Liya merupakan sepupu kepada Iman. Mereka amat rapat semenjak kecil sehinggakan Pak Long berharap sangat mereka dapat disatukan apabila dewasa kelak. Iman sebenarnya tidak menyimpan apa-apa perasaan terhadap Liya.  Sikap Liya agak sosial dan sombong apabila menetap di kota. Hingga kini, Liya masih memendam perasaan pada Iman dan berharap impiannya untuk berkahwin dengan Iman menjadi kenyataan. Pak Long telah banyak berkorban untuk keluarga Datin Maimon semenjak adiknya itu kematian suami.
 
Liya telah pulang ke kampung dengan alasan ingin menjaga rumah pusaka yang telah lama ditinggalkan dan jemu hidup di kota. Liya ingin mencari Iman setelah hatinya terluka dengan beberapa lelaki bandar. Dia ingin ingin menyambung ikatan mereka yang terputus apabila masing-masing melanjutkan pelajaran. Untuk mengeratkan hubungannya dengan Iman, Liya telah memaksa ayahnya untuk membuka pusat taska.
 
Tina mendapat sepucuk surat menyatakan dia akan ditukarkan ke Taiping, Perak. Selama ini dia hanya mengetahui tentang keindahan Taiping hanya melalui Iman yang ditemui ketika berkursus beberapa bulan lalu anjuran Jabatan Kesihatan. Tina berharap Iman akan membantunya di sana nanti. 
 
Iman amat senang bersama Tina kerana mereka boleh berbincang apa saja dari soal kerjaya sehinggalah kehidupan, ini boleh meredakan tekanan yang dihadapi terutamanya soal kakaknya, Leen dan Liya yang amat merimaskan hidupnya.
 
Setelah sekian lama Iman berusaha memenangi hati Tina, akhirnya Tina bersedia menerima Iman. Iman telah melamar Tina ketika mereka sama-sama berada di puncak Bukit Larut. Iman banyak mengembalikan kegembiraan dalam hidupnya. Liya kecewa, dia pura-pura sakit apabila mendapat tahu Iman akan bertunang dalam masa terdekat ini. 
 
Iman telah membawa Tina bertemu dengan keluarganya. Leen gembira akhirnya Iman telah bertemu dengan seorang gadis yang mampu membuka pintu hatinya. Selama ini masanya banyak dihabiskan dengan kerja dan keluarga tanpa menghiraukan masa depan. Tina merasa sebak apabila Leen mintanya berjanji supaya tidak melukakan hati Iman. Leen juga berharap Tina dapat menjaga Dhia sekiranya terjadi apa-apa pada dirinya.
 
sumber: media hiburan 
Selamat menonton! 


1 ulasan: